KUALA LUMPUR: Dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pelabuhan Bintulu yang diluluskan oleh Dewan Rakyat membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kelulusan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 dan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 juga selaras dengan Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 bahawa semua Pelabuhan di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak.
Menurut laporan BERNAMA, beliau berkata ini merupakan sejarah yang membuktikan kerjasama erat antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan di bawah semangat MA63 yang akhirnya diluluskan dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Parlimen pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Sri Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta semua pihak yang terlibat menjayakan rundingan itu.
Susulan itu jelasnya, tiga jawatankuasa akan ditubuh bagi meneruskan proses rundingan iaitu Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pegawai, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Khas.
“Jawatankuasa itu akan memperinci segala rundingan berkaitan teknikal, kewangan, sumber manusia dan pengurusan aset yang dijangka dimuktamad tahun ini,” katanya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu juga berkata operasi Pelabuhan Bintulu akan berjalan seperti biasa mengikut syarikat yang telah dilantik sebelum sebarang perkara dimuktamad kelak.