Atlet SUKMA Perlu Bersemangat Raih Kemenangan, Tingkat Martabat Sarawak

Disiarkan pada 17 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS








KUCHING: Atlet-atlet yang berjuang di bawah panji Ibu Pertiwi perlu bersemangat meraih kemenangan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 demi meningkatkan martabat negeri ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perjuangan ini harus dilakukan tanpa memfokuskan kepada insentif individu semata-mata.

Bagaimanapun tegasnya, kerajaan Sarawak tidak melupakan perkara tersebut dan sudah semestinya akan memberi habuan kepada atlet yang berjaya merangkul pingat pada temasya itu nanti.

“Sudah semestinya kita tidak melupakan insentif kalau atlet kita menang, mestilah ada insentifnya untuk pemenang emas, perak dan gangsa tapi pada masa ini kita tidak memberikan penekanan kepada perkara itu.

“Saya mahu melihat seseorang atlet itu menang berpandukan perjuangan untuk negeri dan negara bukannya semata-mata untuk mendapatkan imbuhan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penaja SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Para SUKMA Sarawak 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.

Dalam majlis tersebut, Dato Sri Abdul Karim yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Induk SUKMA XXI Sarawak 2024 bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah telah menyampaikan penghargaan kepada 27 penaja dan enam rakan kongsi rasmi yang bersama-sama berusaha menjayakan temasya berprestij ini nanti.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ‘Chef De Mission’ (CDM) Para SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS