Kumpulan Cenderawasih Johan Pertandingan Bermukun Kaul Mukah 2024

Disiarkan pada 17 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS









MUKAH: Kumpulan Cenderawasih yang mewakili Persatuan Melanau Miri dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bermukun sempena Kaul Mukah 2024.

Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2000, piala serta sijil penyertaan.

Naib johan dimenangi oleh kumpulan Warih Melanau dari Kampung Bakong Oya untuk membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula disandang oleh kumpulan Perantau Seni Mukah dari Kampung Sungai Alo untuk membawa pulang wang tunai RM800, piala dan sijil penyertaan.

Manakala, bagi anugerah khas iaitu busana dan tatarias dimenangi oleh Kumpulan Mukun Budaya Limbang.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine bertempat di Pentas Utama Tapak Kaul, Pantai Kala Dana Mukah pada Selasa.

Dalam pertandingan itu, sebanyak 10 kumpulan yang mengambil bahagian, yang disertai oleh Penggiat Seni Bermukun dari Kuching ke Limbang.

Pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan dan dimeriahkan dengan kehadiran sekitar 1,000 pengunjung.

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fridah Osman, Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan Temenggong Hendi Suhai. -EDISI UKAS