KANOWIT: Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.
Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari JTS.
Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa.
"Jadi, pada hari ini Kerajaan akan menyerahkan Cek Pampasan Tanah bagi Projek Jalan Nanga Kabah, Sekolah Kebangsaan Beguang, Sungai Song, Kapit (Fasa 1)-Sibu Sector sebanyak 79 cek kepada 69 orang penerima dengan jumlah keseluruhan pampasan RM1,665,031.05.
"Menerusi inisiatif seperti ini menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa berusaha memberikan kemudahan kepada rakyat agar tiada siapa yang merasakan dirinya ketinggalan daripada arus pembangunan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Jalan Nanga Kabah / Sungai Beguang / Sungai Song, Kapit (Fasa 1) - Sibu Sektor bertempat di Rumah Asay, Nanga Kabah disini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Kerajaan Sarawak katanya komited memastikan negeri ini kekal di landasan menjadi negeri maju menjelang 2030 seperti dirangka dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Hala tuju yang lebih mantap ini akan menambah hasil pendapatan negeri Sarawak sekaligus dapat menambahbaik kemudahan infrastruktur asas di seluruh Sarawak khususnya di luar bandar.
Turut hadir pada program itu ialah Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Sr Mohamad Muazziz Othman, Pegawai Daerah Kanowit Jackline August, Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Malaysia Dr. Stephen William dan Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Dennis Bunyam. -EDISI UKAS