Pusat Pastorial Parish Serian Bakal Jadi Mercu Tanda Di Bahagian Serian

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




SERIAN: Pusat Pastoral Parish Serian bakal menjadi mercu tanda umat Kristian Katolik di Bahagian Serian. 

 

Keuskupan Agung Kuching Uskup Agung Simon Poh berkata, projek Pusat Pastorial Parish Serian yang bakal disiapkan pada masa hadapan akan menyediakan kemudahan dan fasiliti moden untuk kegunaan acara keagamaan dan sebagainya.

 

“Projek tersebut dijangka bernilai RM18 juta dan saya berharap semua umat Kristian Katolik di Bahagian Serian akan dapat bekerjasama untuk menyumbang dana seikhlas hati supaya ianya menjadi kenyataan,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Makan Malam Mengumpul Dana Pusat Pastoral Parish Serian St Theresa di sini pada Sabtu.

 

Katanya, umat Kristian juga harus bangga kerana pada hari ini usia St Theresa Parish Serian telah genap 97 tahun dan dalam tiga tahun lagi kita akan menyambut 100 tahun tertubuhnya agama Kristian Katolik di Bahagian Serian.

 

Dalam pada itu, Rektor St Theresa Parish Reverend Father Lazarus Swinie merakamkan penghargaan terhadap semua wakil rakyat Parlimen Serian iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, ADUN Tebedu, ADUN Kedup dan ADUN Bukit Semuja atas menyumbang RM10,000 masing-masing bagi menjayakan projek Pusat Pastoral Parish Serian.

 

Turut hadir ialah ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada. -EDISI UKAS