Bazar Biperoh Buka Peluang Kepada Peniaga Kecil

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




PADAWAN: Bazar Biperoh membuka peluang kepada peniaga kecil mempromosikan produk sendiri.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, penganjuran bazar sebegini adalah amat penting kepada peniaga kecil dan penduduk setempat untuk mempromosikan produk seperti hasil kraftangan, pertanian dan sebagainya.

 

“Persatuan Biperoh Kuching harus mengenalpasti keperluan dan mekanisme bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk pertanian, kraftangan serta makanan untuk diketengahkan bagi meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat terutama masyarakat Biperoh,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Bazaar Persatuan Biperoh Kuching di Barei Persatuan Biperoh Kuching di sini pada Sabtu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu menambah, Bayur Rural Growth Centre atau Bandar Kecil Bayur bakal dinamakan sebagai Kota Penrissen seperti yang dicadangkan oleh persatuan-persatuan komuniti serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Padawan.

 

Difahamkan, seramai 30 peniaga kecil telah menyertai bazar tersebut yang turut disertai agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan lain lagi.

 

Dalam majlis sama, beliau turut meluluskan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM62,000 untuk aktiviti tahunan Persatuan Biperoh Kuching.

 

Turut hadir ialah isteri kepada Datuk Dr Jerip, Datin Lee Chai Foong, Timbalan Pengarah FAMA Sarawak Peter J Berinus Agang, Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) Sarawak Bobby Dallen Indoi dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS