MUKAH: Sarawak akan mengemukakan permohonan bagi memastikan Sepak Takraw Wanita Regu Berpasukan terus dianjurkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, pada masa ini hanya lima buah negeri telah menghantar penyertaan yang tidak menepati kuota pertandingan.
"Esok mesyuarat Majlis Tertinggi SUKMA akan diadakan di Kuala Lumpur.
"Saya akan bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyertai mesyuarat itu.
"Kita juga telah berbincang dengan pihak Majlis Sukan Negara dan pihak kementerian.
"Walaupun lima pasukan tetapi kita mengharapkan dan merayu sukan ini akan dapat dipertandingkan kerana lima negeri ini telah lama bersedia untuk pertandingan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau beberapa venue SUKMA XXI 2024 di sini, pada Rabu.
Mengenai insentif kepada atlet yang cemerlang pada temasya SUKMA kali ini, beliau yang juga Chef De Mission (CDM) kontinjen Sarawak berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dan akan diumumkan Premier Sarawak.
"Kita berharap sokongan padu diberikan kepada atlet kita. Kita menang, mesti ada insentif.
"Ini memberikan motivasi dan penghargaan kepada usaha serta perjuangan mereka," katanya.
Sementara itu, Dato Gerald telah meninjau beberapa venue penganjuran SUKMA 2024 di Mukah termasuk Dewan Sri Balau, UiTM Mukah, (Judo), Politeknik Mukah (Bola Jaring), Stadium Mukah (Bola Sepak) dan Padang MDDM (Bola Sepak).
Beliau turut berpuas hati dengan kelancaran persiapan yang dijalankan di setiap venue pertandingan termasuk tempat penginapan di Mukah.-EDISI UKAS