KUCHING: Acara ‘Fun Ride’ iaitu aktiviti berbasikal santai bakal berlangsung pada 22 Julai depan bersempena dengan sambutan Hari Sarawak 2024.
Aktiviti tersebut dijangka bermula seawal 6 pagi untuk pendaftaran, dan pengisian bermula dari perkarangan Dewan Suarah Bintulu di mana para peserta bakal menempuh kayuhan sepanjang 15 kilometer.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, aktiviti ‘Fun Ride’ ini mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti kehidupan para peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Signifikan ‘Fun Ride’ pada saya adalah ia akan meningkatkan budaya penglibatan masyarakat setempat untuk beriadah dan bersukan.
“Dan ini sudah pasti akan memupuk satu semangat perpaduan, kebersamaan di antara semua peserta dan mengetengahkan semangat interaksi pelbagai kaum yang terdapat di Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa temubual eksklusif ‘Juh Randau’ terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS pada Rabu.
Dalam pada itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Hari Sarawak 2024 Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dijangka hadir untuk merasmikan majlis pelepasan bendera ‘Fun Ride’ itu nanti.
Hadir sama dalam program temubual tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier, Hal Ehwal Korporat, Penerangan & Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Pengarah UKAS Samuel Simon serta pegawai-pegawai kanan UKAS yang lain. -EDISI UKAS