Pelbagai Pembangunan Dirancang Di DUN Kedup

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Pelbagai pembangunan akan dirancang di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup pada tahun ini. 

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata beberapa kawasan telahpun dibangunkan prasarananya dari aspek kemudahan elektrik, air dan jalan raya. 

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu lagi, dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan untuk menaik taraf Gereja St Markus manakala RM300,000 lagi telah diperuntukkan untuk membina baharu gelanggang futsal di Kampung Mapu. 

Dalam pada itu, Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) akan menyalurkan dana sebanyak RM1.5 juta untuk membina jalan pertanian di kampung tersebut. 

Pengumuman tersebut disampaikan oleh beliau semasa berucap dalam Majlis Tanda Kesyukuran Pemimpin Bersama Rakyat di sini pada Sabtu. 

Dalam majlis tersebut, Datuk Martin turut menyampaikan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Kampung Mapu Kijabu, JKKK Mapu Tantu, JKKK Mapu Tragu dan JKKK Mapu Sadong. 

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Mapu dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Kampung Mapu  turut menerima cek masing-masing sebanyak RM10,000 setiap satu. 

Hadir sama, isteri kepada Datuk Martin Datin Trina Tan, Ketua Kampung Mapu Kijabu Kulin Pi’e, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kedup Thadeus Kiek serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS