‘Sarawak Maju Makmur’ Tema Hari Sarawak 2024

Posted on 17 Jul 2024
Source of News: UKAS








MIRI: 'Sarawak Maju Makmur' dipilih sebagai tema utama sambutan Hari Sarawak 2024 yang bakal diadakan di Bintulu pada 22 Julai kelak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, tema yang dibawa ini bagi menyatakan bahawa kemajuan dan kemakmuran di Sarawak akan membawa faedah besar kepada Malaysia.

Ini juga katanya, termasuk di mana Sabah dan Semenanjung Malaysia maju dan makmur, maka Malaysia akan turut maju bersama.

“Kita tak nak membuang masa menunding jari kepada mana-mana pihak mencari kesalahan antara satu sama lain.

“Kita perlu mencari cara dan menguatkan kewangan kita sendiri agar kita boleh melakukan sesuatu perkara tanpa sepenuhnya mengharap kepada kerajaan pusat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan Ke-16 (NATSEM 2024) - Peluang & Strategi: Untuk Meningkatkan Keuntungan Perniagaan Kelapa Sawit di sebuah hotel terkemuka di Miri pada Isnin.

Tambahnya, objektif di Sarawak adalah untuk memastikan negeri ini dapat bergerak ke hadapan dengan cara tersendiri di dalam Malaysia.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak akan sentiasa berkongsi cara, bekerjasama dan saling bantu-membantu dengan mana-mana pihak di dalam Malaysia bagi memastikan negara ini sentiasa maju dan makmur.

Dalam pada itu, Dato Sri Stephen Rundi telah mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merasmikan seminar tersebut.

Difahamkan, seminar itu berjaya menarik penyertaan 860 ahli dan penggiat dalam industri perladangan kelapa itu di seluruh negara dan berlangsung selama tiga hari ini bermula 15 hingga 17 Julai ini.

Hadir sama Setiausaha Kementerian Perladangan Dan Komoditi Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof Ketua mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi ‘The Incorporated Society of Planters’ Datuk Daud Amatzin, Pengerusi ISP Management (M) Sdn Bhd Mohamad Fadzil Hitam serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS