Program Ketuk Sahur DUN Nangka Terima Sambutan Menggalakkan

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

 
SIBU: Program Ketuk Sahur yang buat pertama kali diadakan telah berjaya mengagihkan sedekah sahur kepada 550 buah rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka sepanjang bulan Ramadan ini.
 
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee, menyatakan bahawa program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Nangka yang unik ini telah menerima sambutan yang cukup menggalakkan dari penduduk tempatan.
 
“Saya, bagi pihak Pusat Khidmat DUN Nangka, ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
 
”Insya-Allah, program yang baik seperti ini akan kita teruskan pada masa yang akan datang,” katanya.
 
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas mengagihkan sedekah sahur siri ke-11 (terakhir) kepada penduduk di Kampung Abang Barieng, Bandung di sini, awal pagi tadi.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berharap bahawa melalui program tersebut, ia dapat mengeratkan hubungan persaudaraan di kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam.
 
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar Hari Raya Aidilfitri digunakan untuk mengeratkan lagi perpaduan antara kaum di Sarawak terutama di kawasan DUN Nangka.
 
“Sama-sama kita merayakan hari lebaran ini dengan penuh kesedaran, demi perpaduan, menjaga kebaikan, dan kesucian agama Islam, serta mengeratkan silaturahim di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Sarawak,” katanya.
 
Sementara itu, keunikan program itu juga adalah di mana ahli JKKK yang terlibat mengenakan kain pelikat dan baju melayu dan berkain batik sambil mengagihkan sedekah sahur kepada penduduk setempat sebelum program bersahur beramai-ramai itu dilanjutkan di Dewan MUC. -EDISI UKAS