KMKK Penting Jadi Mata, Telinga Kerajaan & Rakyat

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

 
SIBU: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) berperanan penting sebagai mata dan telinga antara kerajaan dan rakyat.
 
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, KMKK merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memberi perkhidmatan penting kepada rakyat.
 
"Anda harus berwaspada tentang situasi politik semasa negara, kawan boleh menjadi musuh.
 
"Ini bukan sahaja mengingatkan saya tentang apa yang diingatkan oleh mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak,  Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud- Jangan dengar cakap orang itu, kaji perangai dia kerana perangai tidak berubah.
 
"Berwaspada juga dengan penipuan dalam talian, berita palsu yang tular dan adalah lebih penting untuk mengesahkan (berita),” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya bagi Majlis Penyerahan Notis dan Sijil Pelantikan KMKK bagi N.53 Bawang Assan di sini pada Jumaat.
 
Dalam pada itu, Datuk Amar Prof Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sudah tiba masanya untuk Bawang Assan mengejar pembangunan.
 
"Dengan pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg baru-baru ini mengenai dana khas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk Bawang Assan, ini adalah bukti yang jelas bahawa Premier tidak mahu Bawang Assan jauh ketinggalan," ujarnya.
 
Dalam majlis tersebut Datuk Amar Dr Sim telah menyampaikan watikah pelantikan semula kepada 50 ahli KMKK DUN Bawang Assan.
 
Difahamkan, Ting Jack Sing dilantik sebagai Penghulu manakala Chew Hoo Kiong dilantik sebagai Kapitan di DUN Bawang Assan bersama 48 orang Tuai Rumah.
 
Turut hadir pada majlis tersebut ialah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Romeo Christopher Tegong, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting Ing Horh serta dif-dif jemputan yang lain. -EDISI UKAS