Yang di-Pertua Negeri Sarawak Serta Isteri Mengadap Sultan Brunei

Disiarkan pada 16 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS








BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi mengadap Kebawah Duli Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jam 2 petang pada Isnin.

Hadir sama dalam pertemuan itu Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Mohamed Alam di Istana Nurul Iman.

Turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud.

Terdahulu, dif-dif kehormat telah menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78.

Keesokan harinya, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah akan menghadiri Majlis Santapan Malam Bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada sebelah malam di Dewan Persantapan Diraja Istana Nurul Iman. -EDISI UKAS