MIRI: Pemergian Allahyarham Temenggong Dato Abdul Rahman Abang Fadzail disifatkan sebagai kehilangan besar kepada komuniti di Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata Miri telah kehilangan seorang pemimpin masyarakat yang begitu baik sekali yang selama ini bekerjasama erat dengan pelbagai kaum dan juga agama di Miri dan telah banyak menyumbang ke atas pembangunan kemasyarakatan di Miri.
“Beliau adalah seorang yang sangat bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di Miri dan juga sebagai seorang pemimpin masyarakat Miri di sini yang memang sangat prihatin dan menjalankan tugas yang dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika memberi penghormatan terakhir kepada Allayarham di Masjid At-Taqwa pada Isnin.
Allahyarham yang berusia 82 tahun telah menghembuskan nafas terakhir pada petang Ahad.
Dilantik menjadi Temenggong pada tahun 2009, Allahyarham berpengalaman dan mempunyai kemahiran mentafsir dalam bidang adat resam bagi masyarakat serta pernah menyandang tugas serta jawatan dalam mana-mana pertubuhan seperti Penaung, Penasihat, Pengerusi, Bendahari serta Ahli Jawatankuasa (AJK).
Antaranya selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Tadika HIKMAH Bina Miri, Ahli Pemegang Amanah dan Setiausaha Kehormat Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri, mantan Pengerusi Jawatankuasa Masjid At-Taqwa Miri, Setiausaha Badan Khairat Kematian Miri, Ketua Kumpulan Zikir Pusat Sumber Ilmu Piasau Jaya Miri, Timbalan Presiden HIKMAH Negeri Sarawak, Pengerusi HIKMAH Bahagian Miri, Pengerusi Pertubuhan Amal Kebajikan dan Anak-anak Yatim Piasau, Ketua Kelas Iqra' dan Al-Quran Masjid Piasau Jaya Miri, Tutor Kumpulan Zikir Wanita Piasau serta Ketua Biro Agama Masjid Darul Ehsan Piasau Miri.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid At-Taqwa Miri tepat jam 8 pagi menggunakan kenderaan jenazah Pusat Amal Piasau.
Setiba di masjid, jenazah terus diuruskan di Bilik Urusan Jenazah dan disolatkan sebelum diletakkan di ruang Al-Buruj Masjid At-Taqwa Miri untuk majlis penghormatan terakhir.
Bacaan surah Yaasin turut dibacakan oleh pelajar tahfiz Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Miri.
Seterusnya jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Pujut 5, Miri.
Turut memberi penghormatan terakhir Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, wakil Residen Bahagian Miri Nur Almas Ahmad Shamsudin, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pengerusi Masjid At Taqwa Jamalulalam Shani, ketua-ketua Jabatan, Ahli-ahli Pemegang Amanah Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri, Lembaga Pengurusan Masjid At-Taqwa Miri, pemimpin-pemimpin NGO, ahli-ahli parti politik serta Ketua-ketua Masyarakat Daerah Miri. - EDISI UKAS