Kronologi Hari Sarawak Perlu Dimasukkan Dalam Sukatan Pelajaran Sejarah

Disiarkan pada 16 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS








KUCHING: Kronologi bersejarah Hari Sarawak atau Hari Kemerdekaan Sarawak perlu dimasukkan dalam sukatan pelajaran subjek sejarah.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, penambahbaikkan sukatan pelajaran itu bagi membolehkan anak-anak muda pada masa hadapan memahami kepentingan tarikh 22 Julai yang diraikan di Sarawak.

Menurutnya, tanggal 22 Julai 1963 merupakan peristiwa yang memberi makna yang besar kerana ia merupakan detik Sarawak diberi kuasa untuk memerintah sendiri.

“Ini adalah satu perkara yang kita perlu sematkan diingatan dan diteruskan kepada generasi yang akan datang bagi mereka memahami kepentingan tarikh terumatamanya apa yang berlaku sebelum dan selepas Hari Sarawak,” katanya dalam sesi temubual Juh Randau anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Bangunan Baitul Makmur di sini pada Isnin.

Datuk Dr Penguang yang juga Timbalan Menteri bertanggungjawab bagi Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena sambutan Hari Sarawak 2024 menambah, pendekatan ini juga bagi generasi muda dapat membezakan tiga tarikh penting di Malaysia iaitu Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Hari Malaysia pada 16 September 1963 dan Hari Sarawak pada 22 Julai 1963.

Jelasnya, Hari Kemerdekaan merupakan tarikh bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Hari Malaysia merupakan hari pembentukan Malaysia antara Persekutuan Tanah Melayu, Wilayah Sarawak dan Sabah serta Singapura manakala Sarawak telah diberikan pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 sebelum membentuk Persekutuan Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu menambah, Hari Malaysia juga perlu diingatkan sebagai pembentukan di mana Sarawak bukannya bergabung tapi membentuk negara Malaysia.

“Sebab itu kita mempunyai autonomi tersendiri untuk kita lindungi menyebabkan ramai pihak menunjukkan cemburu terhadap autonomi Sarawak.

“Sarawak mempunyai banyak kepentingan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana Sarawak diberi autonomi tertentu dan perkara tertentu yang tidak boleh dikompromi tidak kira sebelum ini, pada ketika ini dan pada masa yang akan datang,” jelasnya.

Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terus berusaha dengan gigih untuk mendapatkan kembali keistimewaan yang Sarawak telah 'hilang' sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga tidak meminta lebih atau kurang bagi hak-hak tersebut tetapi untuk mendapatkan kembali hak Sarawak yang dinyatakan dalam MA63 serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). -EDISI UKAS