RM300,000 Untuk Projek RTP Kawasan Letak Kereta Dewan Serbaguna Kampung Biya Nusaraya

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




PADAWAN: Sejumlah RM300,000 telah diluluskan melalui peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja menaik taraf dan menyiapkan kawasan letak kereta Dewan Serbaguna Kampung Biya Nusaraya.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil mengumumkan peruntukan tersebut pada Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kampung Biya Nusaraya sempena Program Back To School di Kampung Biya Nusaraya di sini pada Sabtu.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu berkata, beliau akan terus bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melakukan penilaian dalam melakukan naik taraf jalan menuju ke kampung tersebut yang amat memerlukannya. 

 

Beliau juga menggesa penduduk kampung untuk menjaga kebersihan kampung dgn membuang sisa domestik ke pusat pengumpulan sampah serta mewujudkan sistem tagang bagi menjaga kelestarian sungai kampung itu.

 

Dalam majlis sama, Datuk Dr Jerip menyerahkan beg sekolah serta peralatan sekolah melalui Program  Back To School kepada 20 orang pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga peringkat sekolah menengah.

 

Beliau turut menyerahkan bakul makanan kepada seramai 10 orang penerima yang memerlukannya.

 

Turut hadir ialah isteri kepada Datuk Dr Jerip, Datin Lee Chai Foong, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar. -EDISI UKAS