Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Hadir Majlis Makan Malam Bersama Rombongan Sarawak Di Brunei

Disiarkan pada 15 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi meluangkan masa menghadiri Majlis Makan Malam bersama rombongan Sarawak di Restoran Tarindak D’Polo di Jerudong, Bandar Sri Bagawan pada Ahad.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Datuk Abang Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Nur Ezira Mahadi.

Lawatan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri ke Brunei adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-78 keputeraan Kebawah Duli Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Beliau dijadualkan menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Balai Singgahsana Indera Buana di Istana Nurul Iman pada pagi ini.

Beliau juga turut akan dibawa mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada jam 2 petang kelak.

Pada keesokan hari, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri akan menghadiri Majlis Santapan Malam Bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada pukul 7.30 malam di Dewan Persantapan Diraja Istana Nurul Iman. -EDISI UKAS



Kredit Gambar: Astana Negeri Sarawak