250 Pelajar Sekolah Di Konstituensi Opar Terima Sumbangan Beg Sekolah & Alat Tulis

Disiarkan pada 07 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




LUNDU: Seramai 250 pelajar sekolah rendah daripada 18 sekolah di konstituensi Opar telah menerima sumbangan beg sekolah dan alat tulis.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, beliau peka dan prihatin terhadap keperluan masyarakat di konstituensi Opar.

 

“Menerusi Program Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Prihatin, sumbangan tersebut dapat membantu golongan pelajar di peringkat sekolah rendah malahan diperluaskan ke pelajar sekolah menengah dan juga belia yang memerlukannya,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program berkenaan di sini pada Sabtu.

 

Pengerusi SABERKAS Cawangan Opar itu menambah, anak-anak muda pada masa kini perlu mementingkan pendidikan bagi membantu mengubah corak kehidupan dan tidak jadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan melalui pendidikan.

 

Dalam majlis sama, Billy juga menyerahkan bantuan pendidikan secara sekali sahaja kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajar ke peringkat diploma dan ijazah pertama serta Insentif Pendidikan Cemerlang kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang telah mendapatkan keputusan cemerlang.

 

Seramai 28 orang pelajar telah menerima bantuan pendidikan itu manakala 47 orang pelajar cemerlang SPM dan STPM telah menerima Insentif Pendidikan daripada ADUN Opar itu.

 

Beliau juga menyampaikan 82 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) terdiri daripada 58 geran kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), 21 geran kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dua geran kepada Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) dan satu geran kepada Jawatankuasa Pengurusan Tua Pek Kong.

 

Katanya, pemberian geran MRP tersebut adalah untuk membantu pengurusan JKKK dalam merancang dan melaksanakan program bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Gawai yang menjelang tiba.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak Niponi Undek, Pemangku Pegawai Daerah Lundu Zulkipli Morshidi dan Setiausaha Kehormat SABERKAS Sarawak Iszuan Haroni. -EDISI UKAS