Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Selamat Tiba Di Brunei, Hadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-78 Keputeraan Sultan Brunei Darussalam

Posted on 15 Jul 2024
Source of News: UKAS




BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selamat tiba di sini untuk lawatan kerja dua hari ke Brunei Darussalam sempena sambutan ulang tahun ke-78 keputeraan Kebawah Duli Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Beliau yang ditemani isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 5 petang Ahad dengan menaiki pesawat khas dari Kuching.

Turut mengiringi rombongan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud.

Ketibaan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi disambut oleh Pehin Datu Lallaraja Mejar Jeneral (R) DPS Awang Halbi Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan I serta isteri, DPS Awang Mohd. Irwan Hambali, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei serta isteri, Mejar Jeneral DPS Awang Muhammad Haszaimi Bol Hassan, Pemerintah ABDB serta isteri, Awang Ajman Meludin, Setiausaha Tetap (Urustadbir Pentadbiran Awam), Jabatan Perdana Menteri serta isteri, Dato Seri Paduka Sufian Sabtu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan isteri dijadualkan menghadiri Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Balai Singgahsana Indera Buana di Istana Nurul Iman pada Isnin jam 9.30 pagi. -EDISI UKAS

Foto: Pejabat Astana Negeri Sarawak