Program Atlet Muda Medan Lahir Atlet Baharu OKU Intelek

Disiarkan pada 14 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Program Atlet Muda merupakan medan yang tepat bagi melahirkan barisan atlet baharu dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) intelek.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-janak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program seumpamanya mampu menyediakan persekitaran inklusif dan mesra untuk kanak-kanak kurang upaya intelek yang berusia antara 2 hingga 7 tahun.

Malah menurutnya, Program Atlet Muda juga memupuk kerja berpasukan dan mengajar kemahiran sukan asas seperti berlari, menendang dan membaling serta melepaskan kemahiran kepimpinan mereka.

"Ini adalah program baharu yang dimulakan oleh Special Olympic Malaysia. Kebiasaannya program ini hanya melibatkan mereka yang berumur 8 tahun ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis tersebut di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang dianjurkan oleh Sukan Olimpik Khas Cawangan Kuching pada Sabtu.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.

Sementara itu, Dato Sri Fatimah memberitahu, menerusi penglibatan awal dalam sukan, program ini menggalakkan aktiviti fizikal, pembangunan kemahiran motor dan interaksi sosial iaitu kanak-kanak belajar pergerakan asas sambil berseronok.

Katanya, program ini menghimpunkan keluarga, pendidik, jurulatih dan sukarelawan untuk mewujudkan komuniti yang menyokong.

"Ia memperkasakan pemimpin belia dan menggalakkan keterangkuman dalam sekolah dan komuniti.

"Program Atlet Muda juga memberi tumpuan kepada meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang upaya intelek.

"Melalui penyertaan, kanak-kanak mengembangkan potensi kepimpinan tanpa mengira kebolehan mereka. -EDISI UKAS