BAU: Berlandaskan slogan ‘Saluran Informasi Rakyat’ yang menjadi etika kerja warga Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), unit di bawah Jabatan Premier Sarawak ini terus komited dalam menyalurkan informasi yang sahih kepada rakyat.
Pengarah UKAS, Samuel Simon memberitahu, warga kerja UKAS akan terus menunaikan tanggungjawab mereka dalam menyalurkan inisiatif kerajaan kepada rakyat lebih-lebih lagi kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar melalui penulisan berita dan program bersama komuniti.
“Kita di UKAS akan sedaya upaya sebagai saluran informasi rakyat untuk menyampaikan maklumat yang sahih kepada seluruh rakyat di negeri Sarawak ini,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti di Kampung Kandis Baru di sini pada Sabtu.
Jelas beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab UKAS sebagai media rasmi kerajaan Sarawak untuk kekal relevan dalam usaha menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat.
Dalam program yang berlangsung sehari itu, pelbagai aktiviti telah dianjurkan termasuk pertandingan futsal wanita, pertandingan bola sepak tujuh sebelah dan jualan gerai oleh penduduk di kampung ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh, ADUN Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, Pegawai Daerah Bau Constantine Gerald David Jonas, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Peter Nyomek Nyeap dan Ketua Kaum Kampung Kandis Baru Edward Nyiku Gindis. -EDISI UKAS