KUCHING: Sebanyak 940 kes remaja hamil telah direkodkan di Sarawak sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 4.4 peratus adalah berumur di bawah 16 tahun, 31.3 peratus berumur 16 hingga 17 tahun dan 64.4 peratus (605 kes) pula berumur 18 hingga 19 tahun.
Secara terperinci katanya, kes remaja hamil melibatkan umur dibawah umur 18 tahun adalah 35.7 peratus (335 kes), yang mana 62.55 peratus (588 kes) tidak berkahwin semasa mereka hamil dan 96 peratus (902 kes) tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil.
"Berdasarkan etnik, 50.7 peratus kes remaja hamil yang direkodkan adalah dalam kalangan etnik Iban, 22.1 peratus etnik Melayu, 6.8 peratus etnik Bidayuh dan 6.6 peratus etnik Cina.
"Manakala, mengikut pentadbiran bahagian di Sarawak, Bahagian Kapit mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi (12.64 peratus), diikuti dengan Sri Aman (8.25 peratus), Bintulu (8.16 peratus), Sibu (7.52 peratus) dan Sarikei (7.20 peratus),"ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) Peringkat Sarawak yang kedua bagi tahun 2024, di sini pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Fatimah lagi, dalam tempoh sama, sebanyak 345 rujukan intervensi juga telah dikeluarkan kepada ahli-ahli OSTPC di peringkat bahagian untuk ditangani secara bersepadu mengikut Panduan Pengurusan Remaja Hamil di Sarawak.
Jelasnya lanjut, rujukan intervensi itu adalah berkaitan isu-isu kebajikan, perundangan, dokumen pengenalan diri, persekolahan, perlindungan dan sokongan termasuk kesihatan ibu remaja dan anak yang dilahirkan.
"Daripada jumlah rujukan intervensi tersebut, sebanyak 57.1 peratus (197 kes) telah diselesaikan sepenuhnya, 6.7 peratus (23 kes) tidak dapat diselesaikan sepenuhnya dan 36.2 peratus (125 kes) masih dalam proses penyelesaian,"tambah beliau.
Turut serta dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus. -Edisi UKAS