Kerajaan Sarawak Komited Sediakan Kemudahan Untuk Akses Ilmu Secara Digital

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bagi membolehkan rakyat menikmati akses pendidikan secara digital, Kerajaan Sarawak komited dalam usahanya menyediakan kemudahan telekomunikasi yang lengkap termasuk pemasangan jalur lebar di luar bandar dan pedalaman.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang berkata, Daerah Belaga merupakan daerah luar bandar yang kedua yang telah disambung dengan gentian optik dari kawasan Menjawah hingga ke Belaga yang membolehkan rakyat melanggani perkhidmatan Internet untuk kegunaan pelajaran anak-anak.

Tambahnya, dalam jangka masa terdekat kementeriannya akan melancarkqn Pusat Ekonomi Digital di Belaga termasuk daerah yang akan disediakan dengan kemudahan telekomunikasi 5G.

“Oleh itu, gunakan kemudahan ini dengan sempurna untuk pendidikan anak-anak dengan menyediakan akses digital untuk mereka menimba ilmu secara atas talian di mana segalanya ada di hujung jari.

“Selain itu, kemudahan-kemudahan ini sangat penting maka menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga kemudahan-kemudahan ini agar semua kemudahan ini tidak dirosakkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Dan Apresiasi Tingkatan 6 SMK Belaga di sini pada Jumaat.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga itu menambah, ibu bapa harus memainkan peranan penting kepada perkembangan anak-anak dalam pendidikan.

Ujarnya, terdapat dua perkara asas peranan sebagai ibu bapa yang perlu dilakukan kepada anak-anak.

“Pertama, memberi sokongan moral dan material sesuai dengan tuntutan dan keperluan masa kini. Jangan dimanjakan. 

“Kedua, membimbing dan memantau anak-anak kita dalam pelajaran, dalam masa aktiviti, rakan gaulan mereka dan apa yang mereka lakukan di rumah,” jelasnya.

Majlis yang julung kali diadakan di luar sekolah adalah bagi meraihkan 41 para pelajar yang telah berjaya menamatkan Tingkatan 6 bagi menghargai usaha dan pencapaian mereka.

Beliau juga bersetuju untuk memberi sedikit bantuan dana kepada SMK Belaga yang akan disalur melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM30,000. -EDISI UKAS