Premier Sarawak Santuni 300 Asnaf Di Gedong

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyantuni seramai 300 golongan asnaf di konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong bagi mengimarahkan lagi keberkatan pada bulan Ramadan ini.

Simbolik penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh beliau dalam Majlis Berbuka Puasa Daerah Gedong di sini pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Lembaga Tabung Haji Sarawak turut menyalurkan bantuan daripada mereka kepada 300 golongan asnaf yang lain. 

Dalam majlis tersebut, hanya 56 golongan asnaf menerima sumbangan manakala sumbangan kepada penerima selebihnya akan diberi kemudian oleh pihak masjid dan Lembaga Tabung Haji Sarawak. 

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyampaikan sumbangan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) masing-masing sebanyak RM3,000 kepada 10 buah masjid, manakala 13 buah surau masing-masing menerima dana MRP sebanyak RM2,000. 

Jumlah keseluruhan dana MRP yang disampaikan oleh Datuk Patinggi Abang Zohari adalah berjumlah RM56,000. 

Usai simbolik penyerahan bantuan, Datuk Patinggi Abang Zohari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong meneruskan program dengan majlis berbuka sebelum menunaikan solat fardhu Maghrib bersama penduduk Gedong. 

Seterusnya, beliau berkesempatan untuk menghadiri jamuan makan malam bersama dif-dif kenamaan, pemimpin akar umbi serta penduduk sekitar Gedong yang hadir pada malam itu. 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat fardhu Isyak dan solat sunat Tarawih sebelum Premier Sarawak berangkat pulang ke ibu negeri. 

Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Samarahan Mohammad Irwan Bahari Bujang, Pengarah Lembaga Tabung Haji Sarawak Amat Kassim Pait dan Pengerusi Majlis Berbuka Puasa Dato Sri Mohamad Naroden Majais. -EDISI UKAS