MIRI: Pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang berkelayakan turut berpeluang melanjutkan pengajian secara percuma di universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak pada tahun 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah ini adalah bagi memastikan tiada anak jati negeri ini terlepas peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Malah jelasnya, Kerajaan Sarawak juga terus mengiktiraf sijil UEC dan meneruskan penyaluran bantuan kepada sekolah Cina di negeri ini.
"Dasar pendidikan Sarawak adalah untuk memantapkan lagi modal insan bagi menceburi ekonomi baharu demi pembangunan di Sarawak.
"Kita sudah mengiktiraf UEC dan pada tahun 2026 kita akan memberikan pengajian percuma kepada rakyat Sarawak.
"Bermakna pelajar lepasan UEC yang berkelayakan turut menerima pengajian percuma di universiti milik Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Blok Pentadbiran Baharu Sekolah Menengah Pei Min di sini pada Khamis.
Premier Sarawak menambah, institusi pendidikan di semua peringkat perlu memberi penekanan terhadap pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Jelasnya, usaha ini adalah bagi membantu Kerajaan Sarawak meneroka ekonomi dan teknologi baharu yang masih kekurangan tenaga pakar.
"Sarawak turut bercadang untuk bekerjasama dengan Universiti Shanghai Fudan dari China untuk menubuhkan kampus cawangannya iaitu Fakulti Sains Bioperubatan.
"Ini selari dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (SIDC) yang akan menerajui penyelidikan biodiversiti di Sarawak untuk penghasilan ubat serta vaksin baharu," katanya lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr. Azhar Ahmad, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang dan tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS