MTPN Sarawak Komited Bantu Masyarakat Memerlukan

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Program Santuni Kasih Ramadaan 2024 anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup masyarakat yang memerlukan pada musim perayaan ini. 

 

Dalam satu kenyataan media MTPN Sarawak pada Sabtu berkata, setiap kali program ini dilaksanakan di Kampung Sinar Budi Baru, mereka sentiasa memberi semangat dan kerjasama yang baik dalam melaksanakan pelbagai program. 

 

“Program ini adalah cadangan oleh pihak Sakkok Veteran yang sangat aktif dalam melaksanakan pelbagai program di sekitar kampung. 

 

“Pihak MTPN Sarawak akan terus melaksanakan pelbagai program di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa agar dapat membantu para pengguna di sekitar kawasan ini dari pelbagai segi dan juga dapat mengeratkan hubungan antara MTPN Sarawak dengan masyarakat semua,” kata kenyataan itu. 

 

Hadir sama dalam program tersebut, Ahli Dewan Negara Dato Ahmad Ibrahim, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian. 

 

Selain program tersebut, MTPN Sarawak juga telah bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam program agihan bubur pedas serta sumbangan bakul makanan di lima kawasan. 

 

Antara kawasan tersebut adalah Kampung Bako Tengah, Semariang Baru Fasa 3, Kampung Sungai Lumut, Taman Won, Kuching dan Kampung Muda Hashim, Kuching. 

 

Difahamkan, cawangan MTPN Padawan dan Samarahan akan dibuka pada masa yang terdekat  untuk memastikan para pengguna dapat membuat aduan isu pengguna dengan lebih mudah.-EDISI UKAS