BETONG: Kos pengangkutan atlet dari negeri-negeri lain ke Sarawak merupakan tanggungjawab negeri masing-masing untuk memastikan atlet mereka bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, negeri-negeri yang terlibat harus bertanggungjawab membiayai kos tersebut dan bukannya mengharapkan Sarawak selaku tuan rumah untuk menanggungnya.
“Sebelum ini sekiranya SUKMA diadakan di negeri lain, Sarawak tidak pernah meminta negeri berkenaan untuk membiayai apa-apa kos pengangkutan dan kos-kos yang lain.
“Negeri yang terlibat haruslah menunjukkan semangat kesukanan dan semangat SUKMA untuk menjayakan temasya ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas selesai mengadakan lawatan ke venue angkat berat SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini pada Khamis.
Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dipetik sebagai berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu ke SUKMA.
Ia susulan kos tinggi yang terpaksa ditanggung termasuk tiket perjalanan dan membawa peralatan.
‘Chef De Mission’ kontinjen SUKMA Sarawak itu menegaskan, hal ini kerana, Kerajaan Sarawak telah mengeluarkan dana yang besar untuk menaik taraf venue-venue SUKMA 2024 serta keperluan-keperluan yang lain.
“Kita telah menyediakan fasiliti dan kita telah menggunakan belanja negeri sendiri untuk membaik pulih, membina dan juga menganjurkan SUKMA kali ini.
“Sebelum ini, kerajaan Persekutuan hanya memberi RM50 juta sahaja kepada Sarawak namun kita akan membuat yang terbaik dengan bajet yang kita ada,” jelas beliau lagi.
Sempena lawatan ke venue sukan itu, beliau amat berpuas hati dengan perkembangan kerja-kerja menaik taraf venue angkat berat tersebut.
Menurutnya, bukan sahaja venue tersebut telah bersedia untuk menjadi gelanggang pertandingan itu nanti, malah penginapan atlet dan persiapan logistik telah dibincangkan dan kini hanya menunggu kontinjen-kontinjen untuk datang ke Betong dan bertanding bermula 17 Ogos ini nanti.
Terdahulu, Dato Gerald berkesempatan untuk mengadakan lawatan ke tempat latihan angkat berat di mana beliau menzahirkan rasa puas hati melihat semangat yang ditunjukkan oleh atlet Sarawak dalam mempersiapkan diri mereka untuk temasya berprestij itu nanti.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Thomas Romeo Christopher Tegong dan Pegawai Sukan Majlis Sukan Negeri Sarawak merangkap Ketua Unit Persediaan SUKMA Abdul Muktalib Mohamad. -EDISI UKAS