Service Sarawak Permudahkan Urusan Rakyat

Disiarkan pada 11 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




BETONG: Service Sarawak yang diwujudkan oleh Kerajaan Sarawak akan memudahkan masyarakat setempat menerima pelbagai penyampaian perkhidmatan pelanggan perkhidmatan awam Sarawak.

Pelaksanaan Service Sarawak adalah berlandaskan konsep “One Government at Your Service" di mana perkhidmatan agensi-agensi barisan hadapan perkhidmatan awam Sarawak disediakan untuk dicapai secara sehenti sepadu melalui saluran-saluran Service Sarawak iaitu kaunter, kiosk, portal dan mobil aplikasi.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, penduduk di kawasan Betong kini dapat melakukan pelbagai urusan di Service Sarawak Betong yang mula beroperasi sejak 1 Julai lepas.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah membuka satu ‘one-stop centre’ kepada rakyat yang ingin membuat pembayaran bil dan membuat pertanyaan kepada mana-mana jabatan di bawah kawal selia agensi negeri Sarawak.

“Ini secara langsung telah memudahkan rakyat Sarawak khususnya di Betong untuk membayar bil dan bertanya perkhidmatan lain yang dapat diberikan oleh kerajaan Sarawak,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena lawatan beliau ke Service Sarawak Betong pada Khamis.

Sehubungan dengan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar mengajak penduduk di kawasan Betong untuk memanfaatkan usaha kerajaan ini dengan datang dan membuat urusan mereka di Service Sarawak Betong yang baharu dibuka 1 Julai lalu.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pusat Service Sarawak Betong Lydia Lapet memberitahu, urusan yang dibuat tidak semestinya di kawasan Betong sahaja malah merangkumi kawasan-kawasan lain di seluruh Sarawak.

“Perkhidmatan kami bukan sahaja tertumpu di kawasan Betong sahaja, tapi bersifat menyeluruh ke seluruh Sarawak.

“Ini bermakna, sekiranya rumah berada di daerah lain dan asalkan masih dalam Sarawak, Service Sarawak sedia membantu mereka dalam urusan yang ingin mereka buat,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Dato Gerald berkesempatan menyampaikan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada tiga persatuan iaitu Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Layar sebanyak RM100,000, manakala Biro Pendidikan Tuisyen Rumah Panjai dan Persatuan Bomba Sukarela Pekan Betong masing-masing mendapat RM50,000 dan RM10,000.

Hadir sama, ADUN Krian Friday Belik, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Thomas Romeo Christopher Tegong, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC) Paul Langgang, Kaunselor Horace Entoi dan Kaunselor Annelly Bejie. -EDISI UKAS