KUCHING: Syarikat berpangkalan di Saudi Arabia, ACWA Power dan SEDC Energy (SEDCE) bekerjasama dalam membangunkan industri tenaga hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDCE Robert Hardin berkata, kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dalam penyelesaian tenaga mampan yang akan membantu mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam sektor tenaga baharu di rantau ini.
"Baru-baru ini pada Jun, kami telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk membangunkan projek menghasilkan hidrogen hijau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui tawanan.
"Jadi kunjungan hormat hari ini adalah untuk memaklumkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai perkembangan apa yang telah kita lakukan selama ini dan juga bergerak ke hadapan dengan langkah-langkah seterusnya yang perlu kita lakukan," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak bersama ACWA Power di Wisma Bapa Malaysia pada petang Rabu.
Dalam kunjungan hormat itu, Ketua Pegawai Pelaburan ACWA Power Thomas Brostrom berharap untuk bekerjasama dengan SEDCE dalam menawarkan pengalaman terbaik ACWA Power menyumbang kepada pelan hala tuju strategik Sarawak.
"Kerjasama ini menunjukkan impak mendalam daripada bekerjasama dengan pemain industri yang berkongsi visi dan komitmen untuk menyediakan tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai, mampan dan moden," jelasnya.
Turut hadir Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Naib Presiden Serantau ACWA Power Salman Baray, Penasihat Perniagaan Songyi Koo dan Country Director Mathew Chandapillai. -EDISI UKAS