KUCHING: Shell Middle Distillate Synthesis (MDS) Malaysia telah memperkenalkan penghasilan mentega yang disintesis daripada gas, meletakkan syarikat itu sebagai pengeluar komersial pertama di dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penghasilan produk baharu itu merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam teknologi makanan dan pembangunan perindustrian di Sarawak.
Jelasnya, produk yang dihasilkan daripada lilin berkualiti tinggi itu, menekankan kepelbagaian teknologi gas kepada cecair (GTL) dan berpotensi untuk merevolusikannya ke pelbagai sektor ekonomi termasuk makanan.
“Terdapat banyak produk baharu, teknologi baharu yang akan mengekalkan industri berasaskan gas sebagai bahan makanan.
“Apabila diperakui di peringkat antarabangsa, mentega yang berasal daripada gas ini mampu memberi manfaat kepada industri makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 Shell MDS (Malaysia) di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menggariskan betapa pentingnya gas sebagai bahan mentah untuk sektor petrokimia yang mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan ekonomi.
Beliau turut menekankan penubuhan syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dengan matlamat menjamin penglibatan aktif tempatan dalam industri itu.
"Kerajaan Sarawak akan kekal sebagai rakan kongsi anda pada masa hadapan. Sudah tentu kita mempunyai pemain baharu termasuk syarikat minyak negara sebagai rakan kongsi.
“Seperti yang kita semua tahu, pada hari ini kita telah meneroka satu lagi medan gas baharu. Mungkin tahun demi tahun, kita mungkin mencari medan lain,” tambah beliau.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Pengerusi Negara Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman, Pengarah Urusan, Shell MDS Malaysia, Amir Bakar serta tetamu lain. -EDISI UKAS