Pengguna Jalan Raya Ditekankan Untuk Sentiasa Mematuhi Undang-undang Jalan Raya

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Para pengguna jalan raya terutamanya para pemandu dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang jalan raya lebih-lebih lagi pada musim perayaan yang menjelang tiba.
 
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, demi keselamatan diri, pemandu yang memandu bersendirian dinasihatkan untuk berehat setiap tiga jam sekali di dalam perjalanan.
 
“Berhenti memandu apabila terlalu letih, rehat dahulu, kerana kalau anda terlalu letih, anda akan tertidur, ataupun kita panggil ‘microsleep’. Anda menjadi tidak peka dengan keadaan di hadapan anda.
 
“Dan juga, jangan membuat pusingan-U secara haram yang bertentangan dengan arus jalan raya,” katanya semasa ditemui media pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya di Bahagian Miri Bersempena Sambutan Perayaan Tahun 2024 di sini pada Jumaat.
 
Dalam pada itu, Dato Sri Lee juga berkesempatan mengagihkan topi kaledar serta bubur lambuk kepada para penunggang motosikal serta pemandu kereta di kawasan berhampiran.
 
Program ini merupakan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak (MKJRS), Kementerian Pengangkutan, Sarawak (MOTS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Miri.
 
Difahamkan, tujuan program ini adalah untuk memberikan kesedaran keselamatan di jalanraya serta mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kecuaian pemanduan terutama pada musim perayaan.
 
Turut hadir, Timbalan Residen Miri Juan Ubit, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili, Ketua Polis Daerah Miri, Ibu Pejabat Polis (PDRM) Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, Pengurus Kanan Shell East Malaysia Jonathan Jolly, Pengurus Wilayah Kanan Shell Malaysia Alex Pega. -EDISI UKAS