Festival Bahasa Dan Sastera Peringkat Sarawak 2024 Tingkatkan Minat & Kefahaman Bahasa Melayu

Disiarkan pada 10 Jul 2024
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Penganjuran Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Sarawak 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dapat meningkatkan minat dan kefahaman Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
 
Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia Dato Dr. Jeniri Amir berkata, pelaksanaan festival ini merupakan program yang menggabungkan pelbagai aktiviti dalam satu-satu masa dan bertujuan bagi merancakkan kegiatan bahasa dan sastera terutamanya di Sarawak.
 
"Bermula tahun 2024, Festival Pelbagai Kaum yang telah dilaksanakan sebelum ini telah dijenamakan semula sebagai Festival Bahasa dan Sastera agar selaras dengan program tahunan DBP Kuala Lumpur yang melibatkan penyertaan pelajar bukan Melayu dari SMPC dan SJKC.
 
"Festival ini juga bertujuan untuk memantapkan dan meningkatkan minat serta penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar SMPC dan SJKC melalui pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan," ujarnya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Sarawak 2024 DBP Cawangan Sarawak di Bilik Mesyuarat DBP Cawangan Sarawak di sini pada Rabu.
 
Dalam pada itu, beliau berharap agar keseluruhan program yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak.
 
Sebanyak tujuh program bakal dilaksanakan sepanjang tempoh festival itu berlangsung bermula pada 15 hingga 19 Julai 2024.
 
Antaranya termasuk Pertandingan Forum Pelajar Dan Klip Video Pendek, Pertandingan Bicara Berirama, Pertandingan Penglipur Lara Moden, Program Bimbingan Pemerkasaan Forum Pelajar, Program Bacaan 5 Minit, Pertandingan Lagu Berkumpulan dan Pertandingan Bercerita.
 
Pada festival sama, hadiah kepada para pemenang turut akan disampaikan berbentuk wang tunai, sijil penyertaan dan penghargaan bagi setiap kategori pertandingan.
 
Hadir sama, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai, Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Sekolah Menengah Cina Swasta Sarawak Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming, Ketua Eksekutif Persatuan Bersekutu Lembaga Sekolah Menengah Cina Swasta Sarawak Hong Woan Ying, Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak dan Karyawan DBP Cawangan Sarawak. -EDISI UKAS