ADUN Machan Cadang Tubuhkan APCC DI Daerah Kanowit

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong telah mencadangkan kepada Jabatan Pertanian Sarawak untuk menubuhkan Pusat Pengumpulan Produk Pertanian (APCC) di Daerah Kanowit.

Menurutnya, penubuhan ini kelak memudahkan para petani dalam menjual hasil tani mereka kepada orang ramai.

“Ini adalah bagi memudahkan para petani memasarkan hasil pertanian mereka. Ketika ini para petani di Daerah Kanowit hanya memasarkan produk pertanian mereka di Pasar Tamu Kanowit,” katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Program Agriculture Community Outreach (AgriCOP) di Rh. Maling, Sg. Maong pada Jumaat.

Selain itu katanya, beliau juga menyeru agar para petani di DUN Machan dapat menggunakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dengan sebaiknya. 

Jelasnya, mereka boleh berhubung dengan pejabat pertanian bagi mendapatkan info terkini dan khidmat nasihat mengenai perkara yang berkaitan dengan pertanian.

Dalam pada itu, seramai 120 orang peserta telah mengikuti program Agricop ini yang telah dilaksanakan bermula 4 hingga 5 April 2024.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah mewakili Pengarah Pertanian Sarawak Peter Jarit, Pegawai Pertanian Bahagian Sibu Andrew Iling serta Pegawai Menguasa Jabatan Pertanian Daerah Kanowit Nicholas Jati. -EDISI UKAS