Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti Sibu Jaya Tarik Kehadiran 1,000 Orang

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti Sibu Jaya anjuran bersama Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd, pemaju Perbandaran Sibu Jaya dan Masjid Al Madinatul Husna Sibu Jaya telah menarik lebih 1,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat  pada Khamis.

Lebih 1,000 hadirin dari PERYATIM, Rumah Sri Kenangan, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan, jawatankuasa kejiranan dan pertubuhan sukarela menyertai program tersebut.  

Kehadiran mereka disambut oleh kakitangan Amcorp Sibu Jaya dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Madinatul Husna Sibu Jaya Samsul Mostapha.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting berkata, beliau sangat teruja apabila menerima jemputan daripada Amcorp.

"Inilah yang kita semua bangga sebagai rakyat Sarawak. Kita memberi tumpuan kepada persamaan menyatukan kita semua dan meraikan perbezaan menjadikannya sungguh unik," katanya.

Ting menjelaskan beliau berasa sangat dialu-alukan oleh jawatankuasa masjid dan gembira dengan ketenangan serta keselesaan semua orang bersama antara satu sama lain. 

"Semua orang berbual mesra dan berseronok. Ia juga memberi orang bukan Islam gambaran lebih mendalam tentang amalan semasa berbuka puasa," kata bekas Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp Tan Sri Azman Hashim itu menggariskan sifat inklusif dan harmoni Perbandaran Sibu Jaya di mana individu daripada pelbagai latar belakang berkumpul meraikan perpaduan dan kepelbagaian.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Azlan Baqee Abdullah yang berucap dari Kuala Lumpur berkata, secara keseluruhannya organisasi itu percaya kepentingan menggalakkan keterangkuman dan persefahaman dalam kalangan orang ramai tanpa mengira kaum atau agama.

"Kami berbesar hati menganjurkan acara malam ini di Sibu Jaya. Berbuka puasa berbilang kaum dan agama pada minggu terakhir Ramadan ini adalah peluang tepat kami menyatukan, menyepadukan dan mengeratkan ikatan kita," katanya. -EDISI UKAS