Pusat Kanser Sarawak Dijangka Dibina Hujung Tahun Ini

Posted on 10 Jul 2024
Source of News: UKAS









KUCHING: Projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang baharu dijangka bermula pada hujung tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan pusat itu adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi memenuhi keperluan pesakit kanser di negeri ini yang membelanjakan kos mahal bagi rawatan.

“Jika kita hanya bergantung kepada hospital di Kuala Lumpur, ianya sangat mahal dan rakyat kita mungkin tidak mampu untuk mendapatkan rawatan. Jika seorang pergi, seluruh keluarga akan ikut dan tambang untuk ke sana juga mahal.

“Jadi inilah yang kerajaan negeri lakukan, untuk menaik taraf kemudahan untuk rakyat kita sendiri dan juga negeri jiran kita.

"Kalau Sarawak ada pusat kanser, pesakit dari Sabah juga boleh datang menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo, tidak payah naik kapal terbang,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Persidangan Asia Pasifik Kesihatan Awam Kali Ke-8 (8TH APCPH) di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak akan membiayai terlebih dahulu kos pembinaan dan kerajaan Persekutuan akan membayar balik.

Katanya, ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Sementara itu, semasa bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu sebanyak tiga hospital baharu akan dilaburkan di Sarawak.

“Normah akan diperbesarkan di mana tempat dan lokasi baharu dengan 300 katil serta kemudahan yang terkini dan ini kepunyaan Sarawak.

“Dua lagi kepunyaan swasta, satunya di kawasan Tabuan dengan 300 katil juga dan kemudahan terkini dari sudut teknologi dan juga peralatan. Satu lagi dekat Batu Lintang. Ini adalah kumpulan luar negara,”ujar beliau.

Dedahnya lagi, ketiga-tiga projek itu telah diluluskan dari segi bangunan dan kemudahan lain dengan ia akan dibangunkan dalam masa dua tahun.

Hadir sama, Pengerusi (APCPH) Dr Mohd Azahadi Omar, Naib Pengerusi (APCPH), Dr Tahir Aris, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS