30 Golongan Asnaf Terima Sumbangan Raya Ahli Parlimen Batang Sadong

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Seramai 30 golongan asnaf telah menerima sumbangan raya daripada Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee menerusi Program Iftar Jama'ie bertempat di Masjid Nurul Islam Kampung Semalatong Baru pada Jumaat.

Simbolik penyerahan tersebut telah diserahkan sendiri oleh Rodiyah dan turut diiringi oleh Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da'adi bersama Penghulu Najib Arbi.

Disamping itu, beliau turut menyampaikan cek berjumlah RM17,000 bagi dana tahunan aktiviti untuk limaa buah masjid yang terdapat di Ulu Gedong.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyumbangkan sebanyak 20 helai sejadah dan 20 naskah Al-Quran kepada Masjid Nurul Islam yang diwakili oleh Ketua Kampung Bohari Abdul Karim.

Ketika ditemui pemberita, Rodiyah berharap agar sumbangan yang diberikan dapat digunakan sebaik-baiknya untuk perlaksanaan ahli jawatankuasa masjid dalam mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan pada masa akan datang.

Hadir sama ke Program Iftar Jama'ie tersebut ialah wakil Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan Ustaz Anwar Mursadat Ahmad Tajuddin. -EDISI UKAS