KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk mendigitalkan 150 daripada 271 klinik di seluruh Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) telah bertemu dengan Kerajaan Sarawak bagi mendapatkan peruntukan tersebut tahun lepas.
Jelasnya, digitalisasi klinik amat penting di mana setiap klinik boleh mengakses rekod kesihatan bagi mengurangkan penggunaan sumber pada klinik-klinik tersebut.
“Kerajaan Sarawak memberi RM10 juta supaya 150 daripada 271 klinik akan didigitalkan dan ia meliputi 73 peratus daripada pesakit di Sarawak yang pergi mendapatkan rawatan di klinik-klinik tersebut.
“Maknanya pada masa kini, jika anda pergi ke satu klinik, maka klinik lain boleh melihat rekod anda, termasuk ubat-ubatan tanpa perlu membawa buku kesihatan di mana pesakit kadang-kadang tidak tahu apa ubat yang dimakan.
“Ini juga termasuk ujian darah kerana kita sering mengulangi ujian darah sekiranya tiada rekod mengenainya dan bagi saya, ia bukan cara bijak untuk menggunakan sumber,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama bagi Persidangan Asia Pasifik Kesihatan Awam (APCPH) Kali Ke-8 di hotel terkemuka di sini pada Selasa.
Tambah Menteri MPHLG itu, peruntukan ini sepatutnya diberikan pada tahun lepas namun pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenai program digitalisasi menyebabkan peruntukan tersebut dilewatkan.
Ujar beliau, kementeriannya menerima dua peruntukan daripada kerajaan negeri serta pusat dan pihaknya kini akan memfokuskan untuk mendigitalisasikan seluruh 271 klinik yang terdapat di Sarawak.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Veronica Lugah, Naib Pengerusi APCPH Kali Ke-8 Dr Tahir Aris serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS