Bantuan Golongan Asnaf Digiatkan Menjelang Lebaran

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Bantuan kepada golongan asnaf semakin dipergiatkan lebih-lebih lagi sebelum menyambut hari lebaran yang menjelang tiba. 

Dalam Program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial di Sebuyau, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi telah menyampaikan sumbangan kepada 55 orang golongan asnaf untuk meringankan beban mereka. 

Program tersebut turut diisi dengan aktiviti memasak bubur pedas secara bergotong-royong antara penduduk dan wakil rakyat mereka. 

Dato Sri Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau telah mengagihkan sendiri bubur pedas dan kurma kepada mereka yang hadir termasuk golongan asnaf. 

Menurut laporan, sebanyak 300 pek bubur pedas berjaya diagihkan pada petang Jumaat bertempat di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau. 

Selesai sesi pengagihan bubur pedas dan kurma, Dato Sri Julaihi kemudiannya menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah dan berbuka puasa seterusnya menunaikan solat sunat Tarawih bersama penduduk setempat. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Malseni Jamal, wakil Pegawai Daerah Sebuyau Tahir Putih serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sekitar Sebuyau. -EDISI UKAS