Perpaduan Menjadi ‘Jambatan’ Rakyat Sarawak Bersikap Saling Membantu

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Perpaduan erat telah menjadi ‘jambatan’ kepada rakyat Sarawak mengamalkan sikap saling menbantu terutamanya apabila berlaku kemalangan. 

Perkara ini jelas terbukti apabila 38 Yayasan Amal Cinta telah menyalurkan bantuan kepada keluarga yang terlibat dalam nahas kebakaran di Kampung Haji Baki. 

Dalam majlis tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut telah menyampaikan sumbangan berupa 15 buah hamper dan ‘angpao’ Hari Raya sambil disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang pada Jumaat. 

Berucap ringkas dalam majlis tersebut, beliau menzahirkan rasa penghargaan kepada 38 Yayasan Amal Cinta atas sumbangan mereka lebih-lebih lagi kepada keluarga Islam yang bakal menyambut lebaran tidak lama lagi. 

Menurut beliau, semangat perpaduan yang erat ditunjukkan oleh rakyat di negeri ini secara langsung dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh kesemua keluarga mangsa kebakaran. 

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar rakyat Sarawak terus bersikap sedemikian dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. -EDISI UKAS