NREB Sarawak Anjur Program Kesedaran Alam Sekitar

Posted on 09 Jul 2024
Source of News: UKAS









KAPIT: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah menganjurkan Program Kesedaran Alam Sekitar bersama komuniti di Kapit pada 5 hingga 6 Julai lepas.

Program selama dua hari ini dianjurkan bersama Jabatan Hutan Sarawak dan beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah menarik kira-kira 150 penduduk rumah panjang.

Sejak tahun 2001, NREB Sarawak telah mengadakan program sebegini untuk mendidik ketua-ketua masyarakat, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), komuniti rumah panjang, dan orang awam tentang pentingnya pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar.

Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak Jack Liam, menyatakan bahawa NREB terus komited melaksanakan program-program berkaitan alam sekitar secara berkala.

Inisiatif ini merupakan langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran tentang pencemaran alam sekitar dan kesan buruknya terhadap kesihatan manusia serta menjaga kelestarian alam.

Dalam kenyataan media NREB pada Selasa, Jack menekankan peranan penting ekosistem sungai dalam memastikan kelangsungan hidup komuniti sungai yang bergantung sepenuhnya kepada sungai untuk pelbagai keperluan.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ujang menyeru ketua-ketua masyarakat dan penduduk setempat di sekitar Sungai Sut untuk memantau dan menghentikan aktiviti pembuangan sampah yang boleh merosakkan sungai dan alam sekitar.

Beliau juga menggalakkan penduduk tempatan untuk melaporkan sebarang salah laku alam sekitar kepada NREB dan pihak berkuasa berkaitan.

Program dua hari tersebut telah menampilkan ceramah dan pameran oleh pelbagai agensi, termasuk Jabatan Hutan Sarawak, Majlis Daerah Kapit, Jabatan Pertanian Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, dan Pejabat Kesihatan Daerah Kapit.

Hadir sama Ketua Pejabat NREB Sibu Dau Utau, Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit Timoty Barat, Ketua Bahagian Perhubungan Korporat NREB Christhe Mansom serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS