Tabika KEMAS Main Peranan Penting Dalam Pendidikan Kanak-Kanak

Disiarkan pada 09 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS



SIBURAN: Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memainkan peranan yang penting dalam pendidikan awal kanak-kanak muda.

 

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memberitahu, tabika KEMAS memberi pendedahan Program Dwibahasa (DLP) di Sarawak kepada kanak-kanak yang sedang belajar di tabika tersebut.

 

“Pada masa kini, tabika adalah tempat yang sangat penting dan Sarawak telah dicabar untuk menggunakan DLP hanya dalam Bahasa Inggeris.

 

“DLP Sarawak berbeza dengan DLP Nasional kerana Sarawak menggunakan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, tetapi subjek lain masih dalam Bahasa Malaysia.

 

“Penekanan kita ialah subjek Sains dan Matematik, oleh itu ibu bapa kanak-kanak kena mulakan pendedahan Bahasa Inggeris lebih awal lagi kerana ia merupakan tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk mengasuh anak-anak,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Keibubapaan Puncak Borneo di sini pada Isnin.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menambah, pendidikan awal anak adalah tanggungjawab ibu bapa kerana para guru hanya membantu untuk mendidik mereka.

 

“Kita juga patut memberi tumpuan lebih banyak lagi kepada pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

“Bermula daripada usia awal kanak-kanak supaya mereka mempunyai pemikiran yang lebih tertumpu kepada pembelajaran STEM,” katanya.

 

Difahamkan, peserta bengkel yang hadir terdiri dari kalangan ibu bapa dan penjaga murid-murid daripada 38 tabika dan empat taska di kawasan Puncak Borneo.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Damen Rejek, Pegawai KEMAS Bahagian Kuching Hazlinah Samsir, Wakil Pegawai Daerah Siburan George Harisson, Pegawai KEMAS Daerah Kuching Nurezzati Azri dan Penyelia Prasekolah KEMAS Puncak Borneo Mary Anne Zainuddin. -EDISI UKAS