Pembangunan Giat Dilaksanakan Di Kampung Telaga Air

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus giat melaksanakan pembangunan di Kampung Telaga Air sehingga ke hari ini sejak penubuhan Pusat Pertubuhan Desa (PPD) Telaga Air pada tahun 1980-an.
 
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Zon Telaga Air merupakan kawasan tumpuan orang ramai lantaran kesegaran makanan laut serta keindahan alam semula jadinya dan hal ini telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas terutama sekali pada hujung minggu.
 
Jelasnya, Kerajaan Sarawak akan membina dua jalan raya baharu pada suku ketiga dan keempat tahun ini untuk meningkatkan prasarana dan infrastruktur yang ada di Telaga Air.
 
“Alhamdulillah, pada tahun lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg telah mengumumkan bahawa jalan raya dua hala sepanjang 4.6-kilometer akan dibina daripada Lebuhraya Pehin Sri Adenan Satem yang dahulunya dikenali sebagai Jalan FAC, menghala terus ke Telaga Air.
 
“Di samping itu juga, saya telah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bahawa pihak Kerajaan telah pun meluluskan sebatang lagi jalan raya daripada Jalan FAC terus ke Kampung Trombol. Bersebelahan dengan Kampung Trombol telah dikenalpasti sebuah tapak untuk membina sebuah universiti baru yang akan dibina oleh Kerajaan Sarawak pada tiga ke empat tahun akan datang,” katanya.
 
 
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Program Zairah & Santunan Ramadan di Masjid Darul Solihin di sini pada Sabtu.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menambah, sebuah masjid baharu juga akan dibina berhampiran dengan tebingan sungai Telaga Air untuk kemudahan Masyarakat Islam yang merupakan majoriti penduduk di kawasan tersebut.
 
Pada program anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) ini, seramai 66 orang asnaf dari 11 kampung di Zon Telaga Air telah menerima sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai bernilai RM150.
 
Hadir sama, Yang Dipertua MIS Datu Misnu Taha. -EDISI UKAS