UKAS Sedia Rombak Budaya Kerja, Sahut Seruan Sampaikan Inisiatif Kerajaan Sarawak

Disiarkan pada 08 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS





KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersedia untuk melakukan perubahan terhadap budaya kerja terkini bagi menyahut seruan Kerajaan Sarawak untuk menyampaikan pelbagai inisiatif kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, perubahan ini dijalankan di atas nasihat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Atas pesanan dan nasihat Datuk Patinggi Abang Zohari, UKAS akan mengadakan seminar ‘in-house’ untuk merombak sedikit budaya, cara dan bidang kerja yang baharu.

“Hal ini disebabkan inisiatif kerajaan yang berbagai terutamanya yang diumumkan oleh Premier Sarawak maka tugasan warga kerja UKAS tidak akan seperti biasa iaitu pendekatan yang lebih agresif,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Ngiling Tikai UKAS di Kuching pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau juga mendapat nasihat Premier Sarawak untuk menjalankan satu bentuk kerjasama dengan Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) terutamanya dalam menjalankan program-program baharu yang dianjurkan bersama.

Tambahnya, kerjasama ini bagi membantu Premier Sarawak dalam menyampaikan inisiatif kerajaan dengan lebih berkesan.

“AZAM dan UKAS akan lebih bekerjasama di mana kita akan melihat kembali pendekatan yang dijalankan dalam mengubah cara kerja untuk melihat hala tuju yang lebih jauh termasuk pendekatan yang agresif terutamanya penglibatan dengan komuniti serta kementerian yang lain,” katanya.

Jelasnya lagi, beberapa mesyuarat bersama pengurusan AZAM telah diadakan bagi melihat gerak kerja, perancangan serta program-program yang dijalankan bagi menyelitkan inisiatif atau program yang dijalankan UKAS.

Ujarnya, program yang dijalankan akan turut melibatkan agensi-agensi media yang terdapat di Sarawak dalam memastikan jurang pemahaman inisiatif kerajaan dikurangkan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Hadir sama, Pengarah UKAS Samuel Simon, Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS