Kerajaan Sarawak Peruntuk RM9 Juta, Naik Taraf Masjid & Surau Di Limbang 

Disiarkan pada 06 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

LIMBANG: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana khas berjumlah RM9 juta bagi menaik taraf sebuah masjid dan empat buah surau yang terpilih di konstituensi ini.

Ia merangkumi masjid di Kampung Limpaku Pinang, Surau Kampung Malagangai, Surau Kampung Limpaki, Surau Kampung Kuala Berawan dan Surau di Taman Seri Patiambun.

Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, kerajaan Sarawak kini berdepan cabaran untuk menambah baik atau menaik taraf rumah-rumah ibadat serta sekolah-sekolah yang usang di negeri ini.

Katanya, salah satu masalah yang timbul ialah kesukaran mencari tapak yang kosong dan sesuai di kampung-kampung yang berhampiran dengan bandar.

"Kalau ada pun harganya agak mahal dan ada pula yang tidak mahu jual tanah mereka. 

"Alternatif yang lain adalah mengguna tapak sedia ada tetapi terpaksa diroboh untuk pembinaan bangunan baru,"katanya semasa berucap menyempurnakan Program Badudun Ramadan di Surau Darul Makmur, di sini pada Khamis.

Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, Surau Darul Makmur merupakan salah satu surau di Kampung Malagangai yang menerima dana khas kerajaan Sarawak.

Ujarnya, sebaik sahaja masalah tapak dapat diselesaikan, maka projek menaik taraf surau tersebut akan dilaksana dengan segera.

"Jabatan Tanah dan Survei memaklumkan urusan tapak surau di kampung ini dijangka selesai sepenuhnya pada Oktober depan.

"Saya akan cuba membantu agar proses urusan tanah diselesaikan segera memandangkan duit sudah ada.
"Reka bentuk surau akan dibuat oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan saya minta saiznya jangan pula lebih kecil dari saiz surau yang lama,"tambah beliau.

Jelasnya lanjut, peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM400,000 turut digunakan kerana dana khas yang dibahagi kepada empat surau yang ditetapkan tidak mencukupi untuk membayar pampasan tanah tapak baru.

Dalam program itu, Datuk Dr Abdul Rahman berpeluang berbuka puasa bersama penduduk Kampung Malagangai dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 10 penerima yang terpilih.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menunaikan solat fardhu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Hadir sama ialah wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Firhan Iskandar Goh, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely, Timbalan Ketua Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Kota Osman Salleh dan Pengerusi Surau Darul Makmur Kampung Malagangai Ibrahim Miamit.-Edisi UKAS