Dion Bawa Nama Sarawak 'Terbang' Tinggi Di AS, Rangkul Dua Emas Dalam WCOPA 2024

Disiarkan pada 08 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS





KUCHING: Dion Das Louis atau lebih dikenali ‘Little Borneo Birdie’ mencipta sejarah tersendiri dan membawa nama Sarawak 'terbang' tinggi di pentas dunia apabila merangkul dua pingat emas Kejohanan Seni Persembahan Dunia Ke-27 (WCOPA 2024) di Long Beach, Califonia, Amerika Syarikat (AS).

Lebih manis, penari cilik berusia 8 tahun itu menggondol dua pingat emas dalam ‘Ethnic Dance’ dan ‘Photo Shoot Model’ bagi kategori Junior.

Persembahan tarian kontemporari Ngajat bertemakan ‘Burung Sarawak Kecil’ diilhamkan daripada Burung Ruai dan Burung Kenyalang yang melambangkan Sarawak.

Dalam pada itu, Dion turut memenangi pingat perak bagi kategori ‘Formal Model’ dan ‘Casual Model’ di bawah bahagian Junior.

Dion dan 11 peserta lain dari Malaysia juga meraih gelaran Pemenang Bahagian dalam WCOPA yang diibaratkan sebagai ‘Olimpik’ dalam dunia seni persembahan.

WCOPA 2024 berlangsung bermula dari 1 hingga 5 Julai lepas.

Sebelum ini, Dion terpilih ke WCOPA 2024 selepas memenangi pingat emas dalam Kejohanan Seni Persembahan Malaysia 2024 di Kuala Lumpur pada 27 Januari lepas. -EDISI UKAS