ADUN Opar Santuni Mangsa Kebakaran Kampung Stenggang

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

BAU: Simpati dengan nasib malang yang menimpa keluarga Margret Donny Rinag, yang mana kediaman mereka musnah sepenuhnya pada 2 Mac lepas akibat kebakaran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah menyantuni dengan menyerahkan sumbangan kepada mereka.

 

Sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM2,000 dan sebuah peti ais telah diserahkan oleh beliau sendiri kepada keluarga mangsa di Kampung Stenggang pada Rabu. 

 

Turut disumbangkan sebuah komputer riba dan mesin pencetak kepada anak mangsa yang masih bersekolah di tingkatan enam. 

 

Billy berharap dengan sumbangan itu dapat meringankan beban mereka sekeluarga dalam menghadapi musibah ini.

 

Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Constantine Gerald David Jonas, Pegawai Pendidikan Daerah Bau Edward Nyelang dan Ketua Kaum Kampung Stenggang Gary Nosen.-EDISI UKAS