Ibu Bapa Diseru Pantau Kegiatan Anak-Anak

Disiarkan pada 07 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




SADONG JAYA : Ibu bapa perlu terus memantau kegiatan anak-anak terutamanya mereka yang melangkah ke alam remaja.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee mengingatkan ibu bapa bagi memastikan anak-anak tidak terjebak dengan kegiatan tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah dan sentiasa peka dengan aktiviti dilakukan anak-anak.

"Saya ingin berpesan kepada ibu bapa supaya sentiasa menjaga dan pantau anak-anak kita zaman sekarang.

"Saya berkata demikian kerana anak-anak kita terutamanya di kawasan luar bandar mudah terdedah kepada perkara-perkara negatif seperti pengambilan dadah.

"Selagi jalan kita tembus menembus, semakin banyak pembangunan di kawasan maka semakin mudah benda-benda seperti dadah ini didapati," katanya.

Rodiyah berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Terasi Iban pada Sabtu.

Tambahnya, sekiranya isu pengambilan dadah ini tidak dibendung, maka wujud isu berkaitan dengan vandalisme seperti berlakunya kecurian harta benda awam seperti mencuri kabel elektrik pada pencawang elektrik.

Selain itu, Rodiyah juga turut menyeru anak-anak lepasan sekolah menengah supaya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Melanjutkan pelajaran adalah amat mudah pada zaman sekarang.

"Saya berkata demikian kerana anak-anak sekarang adalah generasi pada masa akan datang yang boleh mengubah kehidupan dan taraf ekonomi keluarga kita," ujarnya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Penghulu Pawi Sidi, Ketua Kaum Kampung Terasi Iban Andi Ranga, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Simunjan Rosita Poni, Ketua Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen dan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Batang Sadong Idris Ibrahim. -EDISI UKAS