KUCHING: Seramai 14 penerima dianugerahkan Anugerah Maal Hijrah Peringkat Sarawak 2024.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tun Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para penerima anugerah Maal Hijrah yang diadakan di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini pada Ahad.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan-Timbalan Menteri, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta tetamu kenamaan yang lain.
Kesemua 14 anugerah tersebut ialah Pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan, Penjawat Awam Islam, Penjawat Awam Bukan Islam, Saudara Kita (Lelaki), Saudara Kita (Perempuan), Sukarelawan, Belia, Pengurusan dan Pentadbiran Masjid, Pengurusan dan Pentadbiran Surau, Sekolah Rendah Agama Cemerlang, Sekolah Menengah Agama Cemerlang, Pelajar STAM Cemerlang, Pelajar SPM Cemerlang, serta Pelajar STPM Cemerlang.
Pengarah Kampus, UPM Bintulu Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini telah mendahului senarai penerima Anugerah Maal Hijrah dengan menerima anugerah Pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan sekali gus mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM7,000 dan sijil yang ditandatangani oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.
Seterusnya, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi telah menerima anugerah Penjawat Awam Islam, manakala Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr. Les Met menerima anugerah Penjawat Awam Bukan Islam.
Selain itu, Pekhidmat Masjid Islam Sarawak Ustaz Mohd Chathazman Abdullah telah menerima anugerah Saudara Kita (Lelaki) manakala Urusetia Saudara Kita Bintulu Alizawati Abdullah menerima anugerah Saudara Kita (Perempuan) diikuti penjawat awam Lembaga Hasil Dalam Negeri Miri Iqbal Abdollah menerima anugerah Sukarelawan dan Penolong Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak Mohamad Akram Mohamed Karim yang menerima anugerah Belia.
Penerima-penerima telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 serta sijil yang ditandatangani oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.
Selain itu, Anugerah Pengurusan & Pentadbiran Masjid telah diberikan kepada Masjid Al-Hidayah, Kampung Bako yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil yang ditandatangani oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Projek bernilai RM30,000.
Manakala, Anugerah Pengurusan & Pentadbiran Surau pula diberikan kepada Surau Darul Mukmin, Kampung Riam Jaya yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil yang ditandatangani oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Projek bernilai RM20,000.
Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan telah menerima Anugerah Sekolah Rendah Agama Cemerlang manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi telah menerima Anugerah Sekolah Menengah Agama Cemerlang dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil yang ditandatangani oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan hadiah buku bernilai RM3,000
Bagi anugerah kepada para pelajar pula, Amirul Adib Seman yang mendapat pencapaian 8 Mumtaz, 1 Jayyid Jiddan dan 1 Jayyid telah menerima anugerah Pelajara STAM Cemerlang manakala Awang Muhammad Hazim Syazwan Awang Nazri yang mendapat pencapaian 9A+ telah menerima anugerah Pelajar SPM Cemerlang diikuti Selina Ling Abdul Hamid dengan pencapaian CGPA 4.0 menerima anugerah Pelajar STPM Cemerlang.
Pelajar STAM dan STPM Cemerlang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala Pelajar SPM Cemerlang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 dengan ketiga-tiga pelajar turut mendapat sijil yang ditandatangani oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Bantuan Khas RM4,000 Tabung Ibnu Khaldun untuk melanjutkan pengajian ke pusat Pengajian Tinggi. -EDISI UKAS