ADUN Meradong Serah Geran Khas Kepada SJK (C) Ming Tee

Disiarkan pada 07 Jul 2024
Sumber Berita: UKAS




MERADONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah menyampaikan geran khas berjumlah RM5,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ming Tee.

Menurut Datuk Ding, geran khas itu diberikan adalah sempena Sambutan Hari Guru Dan Warga Emas 2024.

Katanya, sambutan Hari Guru bukan saja meraikan malah bagi mengenang jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik anak murid di sekolah.

“Keputusan yang baik juga akan memberi dorongan dan motivasi kepada para guru untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam pendidikan dari tahun ke tahun.

“Selain itu jasa yang disalurkan oleh warga emas kepada sekolah juga harus sentiasa dikenang kerana setiap kali sambutan hari perayaan di sekolah mereka tentu akan hadir dan mengambil berat akan pembangunan infrastruktur sekolah."

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis sambutan hari guru dan warga emas di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan juga agar aktiviti kokurikulum di sekolah itu dilaksanakan dengan baik.

“Permainan seperti bola tampar dan Wushu juga dilatih oleh jurulatih yang berwibawa di SJK (c) Ming Tee dan setiap penyertaan pertandingan mendapat keputusan yang amat membanggakan sekali.

“Justeru itu, saya berharap kedua-dua kokurikulum berkenaan akan semakin bertambah baik dan pada masa akan datang ia akan melahirkan atlit yang berbakat besar serta mengharumkan nama Daerah Meradong,” katanya.-EDISI UKAS