KOPERKASA Sasar Miliki Aset Hartanah RM100 Juta Menjelang 2030

Disiarkan pada 05 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (KOPERKASA) berhasrat untuk memiliki aset hartanah bernilai RM100 juta menjelang tahun 2030. 

Menurut Pengerusi KOPERKASA Fathi Hambali, pembelian aset dalam bidang hartanah di bawah dana dalaman KOPERKASA adalah untuk mengekalkan kemampanan (sustainability) koperasi tersebut. 

Jelasnya, hartanah pada lokasi yang strategik akan dapat memberi pulangan yang berdaya saing kembali kepada KOPERKASA. 

"Sebagai contoh, pada tahun 2023 yang lepas kita telah berjaya memiliki bangunan iaitu Bangunan Aiman di Jalan Satok, bangunan 4 tingkat yang diberi nama KOPERKASA @ Satok. 

"Selain itu, tahun lepas kita juga telah membeli bangunan baru di Limbang iaitu bangunan Pihak Lembaga Amanah Islam Limbang.

"Selain daripada itu juga, kita sekarang ini sedang mengintai sebuah bangunan di Cheras, Kuala Lumpur. 

"Pada tahun 2030 nanti, KOPERKASA menyasarkan untuk memiliki aset tetap iaitu hartanah daripada RM29 juta kepada RM100 juta," katanya semasa sidang media Majlis Berbuka Puasa Media Bersama KOPERKASA di sini pada Jumaat. 

Fathi menambah, dengan peningkatan hasil pendapatan ini akan meletakkan kedudukan ranking KOPERKASA yang kini berada di tangga ke-13 akan menjadi tangga 10 teratas di Malaysia. 

Hadir sama Setiausaha KOPERKASA Othman Bujang dan Bendahari KOPERKASA Mohamad Adzman Abdullah. -EDISI UKAS